Saturday, June 25, 2011

MODUL GEOGRAFI FORM 6

SELAYANG PANDANG

Syukur kehadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnianya kami berjaya menghasilkan modul ini yang bertajuk “Modul Pengajaran dan Pembelajaran Cemerlang Geografi STPM ” yang berasaskan kepada sukatan baru yang akan diguna pakai mulai tahun 2006. Modul ini ditulis khusus untuk panduan guru dan pelajar tingkatan enam yang mengambil matapelajaran Geografi di peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Sebagai panel, kami menyedari bahawa ketiadaan panduan yang khusus untuk ”guru mengajar dan murid belajar” pasti akan menyukarkan mereka untuk menguasai matapelajaran ini. Justeru itu kami terpanggil untuk menyambut inisiatif yang digerakan oleh ”Unit Penyeliaan Sekolah Menengah, Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pelajaran Pahang” yang telah mengabungjalinkan tenaga pakar geografi di peringkat negeri bagi menghasilkan modul tersebut.

Modul ini dibahagikan mengikut kertas 1 dan 2 yang kandungannya meliputi semua tema di dalam sukatan baru Geografi STPM yang akan dilaksanakan pada tahun 2006. Geografi kertas 1 dibahagikan kepada 7 tema iaitu; tema 1 ialah berkaitan dengan sistem bumi, tema 2 sistem geomorfologi, tema 3 sistem atmosfera, tema 4 sistem hidrologi, tema 5 sistem ekologi dan tema 6 ialah saling kebergantungan sistem. Kami meletakkan tema 7 iaitu berkaitan dengan kajian luar atau kajian lapangan Geografi Kertas 1 sebagai penutupnya.

Geografi kertas 2 pula terdiri daripada 6 tema seperti berikut; Tema 1 ialah Penduduk, tema 2 Pembangunan Ekonomi dan Impak Alam Sekitar , tema 3 Transformasi Desa dan Pembandaran, tema 4 Globalisasi Ekonomi dan Kerjasama Serantau, tema 5 Impak Alam Sekitar dan Pengurusannya. Tema terakhir ialah tema 6 iaitu berkaitan dengan kajian luar atau kajian lapangan Geografi Kertas 2. Tema kajian luar ini meliputi dua tajuk penting iaitu pembangunan ekonomi dan impak alam sekitar serta transformasi desa dan pembandaran.

Penulisan bagi setiap tema berasaskan kepada perkara-perkara berikut; Tajuk dan sub tajuk, hasil pembelajaran atau objektif pembelajaran, sisipan konsep, isi atau kandungan pembelajaran, aktiviti pengajaran – pembelajaran, contoh soalan yang relevan berkaitan dengan tajuk berkenaan serta skema jawapannya. Seterusnya dimasukkan bahagian refleksi sebagai pengukuran pencapaian objektif pengajaran-pembelajaran, rujukan khusus serta tugasan pelajar sebagai aktiviti pengukuhan dan pengayaan. Bukan semua tajuk atau sub tajuk bagi setiap tema yang kami sediakan, ia merupakan pilihan bagi tajuk-tajuk tertentu sebagai contoh atau model pengajaran-pembelajaran. Bagi tajuk-tajuk yang tidak disentuh perlulah dikembangluaskan oleh guru-guru disekolah menggunakan format yang telah disediakan. Seboleh mungkin bagi setiap tema difokuskan kepada aspek pengajaran soalan langsung dan soalan kemahiran amali.

Akhir sekali kami ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Jabatan Pelajaran Pahang khususnya kepada sektor pengurusan sekolah yang julung kalinya mengambil inisiatif menggerak dan menjayakan pembinan modul ini untuk seluruh anak-anak Geografi Pahang.

Sekian, terima kasih.

PANEL GEOGRAFI STPM

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...