Saturday, November 12, 2011

{ TAZKIRAH TIME } : SEKSUALITI MERDEKA DAN HAK ASASI MANUSIA (CERPEN)

alt


Adam yang duduk dikerusinya sambil merenung skrin komputer semenjak tadi dengan senyap tiba-tiba bersuara, "Kata ini negara demokrasi, ada kebebasan bersuara, tapi bantah pula program Seksualiti Merdeka!" katanya, merungut tidak puas hati.
Adam mengeluh panjang sambil melayangkan pandangannya ke siling. Dia kagum dengan negara barat yang membenarkan rakyatnya untuk bebas bersuara, menyuarakan kehendak mereka dan bebas untuk berbuat apa yang mereka suka.
Adam bukanlah seorang pengamal seks luar tabi'i, tetapi dia cuma kecewa dengan kebebasan bersuara di Malaysia yang dikatakan sebagai negara demokrasi, tapi hakikatnya kebebasan bersuara itu masih terbatas. Baginya negara Malaysia jauh ketinggalan dengan negara barat disebabkan bersifat tertutup dengan kebebasan bersuara bagi sesetengah pihak.
Adam adalah seorang yang beragama Islam, namun kerana kurangnya pengetahuan dalam bidang agama ketika pergi belajar di negara-negara barat dahulu, maka fikirannya telah diracuni dengan budaya-budaya kuning yang tersebar di sana, antaranya adalah aliran Hak Asasi Manusia.
Aliran Hak Asasi Manusia adalah deklarasi yang dibangun bagi membela Hak Asasi Manusia dalam kehidupan. Contohnya hak untuk mendapat pendidikan, hak bersuara, hak pekerjaan dan banyak lagi. Meskipun Hak Asasi Manusia kelihatan baik membela nasib manusia, namun begitu padanya ada yang bercanggah dengan Islam.
Sebagai umat Islam, kita sebenarnya tidak memerlukan Hak Asasi Manusia acuan barat untuk membela nasib kita, ini kerana agama Islam sendiri sudah serba lengkap dan telah membela nasib manusia yang tertindas.
"Betul!" kata Ben yang terbaring di katil lalu segera bangkit. "Malaysia ini memang menindas. Walaupun sudah lama merdeka, tapi hakikatnya bukan semua rakyat Malaysia itu merdeka." Daripada nada suara Ben itu jelas ada ketidak puas hatian yang terpendam.
"Apakah yang kamu maksudkan dengan merdeka?" tiba-tiba seorang lelaki yang berdiam di katilnya semenjak tadi bersuara. Adam menoleh kepada lelaki dengan mengecilkan renungan matanya. Ben pun sama. Lelaki itu menggeliat seketika sejurus duduk di birai katil. Namanya adalah Abdullah.
Adam kembali menghadap skrin komputer lalu berkata, "kemerdekaan untuk menyuarakan kehendak, kemerdekaan untuk melakukan apa yang kita suka!"
Abdullah bangun dari birai katil dengan bibir yang tersenyum sinis mendengar kata-kata Adam itu. "Ya, aku setuju. Tapi maksud kemerdekaan yang kau katakan itu perlu diperincikan."
"Macam mana tu?" tanya Ben.
"Kemerdekaan bukanlah semata-mata kita bebas daripada belenggu penjajah dan bebas untuk menyuarakan apa yang kita mahu dan lakukan. Kemerdekaan yang sebenarnya adalah kemerdekaan jiwa untuk taat kepada perintah agama. Orang yang berjuang untuk menyuarakan apa yang dikehendaki nafsunya, sebenarnya bukanlah orang yang merdeka. Tapi mereka adalah orang yang menuju perhambaan. Diperhambakan oleh nafsu." jelas Abdullah dengan tegas. Adam dan Ben terdiam apabila Abdullah menjuruskan perbincangan tersebut kepada sudut agama.
"Kau ini, sikit-sikit hendak kaitkan dengan agama." Kata Ben sambil menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Terasa jengkel dengan sikap Abdullah yang sering membawa satu-satu persoalan kepada sudut agama.
"Ben, kita ini orang Islam. Apa-apa persoalan dalam dunia ini kita perlukan kembalikan kepada agama." Jelas Abdullah. "Perbuatan memisahkan urusan dunia dan agama adalah ajaran fahaman sekularisme."
Ben terkedu. Nampaknya dia sudah tersilap kata.
Sekularisme adalah sebuah fahaman yang cuba memisahkan antara persoalan dunia, politik dan kehidupan dengan agama. Fahaman ini menganggap, agama adalah punca kemunduran kehidupan manusia seharian. Oleh itu, fahaman ini cuba memisahkan kehidupan manusia dengan agama, terutama dalam hal politik. Mereka beranggapan, dengan berbuat sedemikian sajalah manusia akan menjadi maju kehadapan.
"Adakah semua kehendak manusia perlu dituruti?" Abdullah menyoal sambil terbongkok-bongkok mengemas katilnya. Adam dan Ben tidak menjawab persoalan itu, bimbang jawapan mereka akan memakan diri mereka kembali. Abdullah sememangnya adalah seorang yang pandai berhujah.
Keadaan masih senyap.
"Sebenarnya ideologi yang dibawa oleh fahaman Hak Asasi Manusia acuan barat adalah amat bermasalah dan bertentangan dengan Islam." ujar Abdullah sebaik saja selesai mengemas katil lalu menghilangkan diri di sebalik pintu. Ben yang sudah bersiap untuk pergi ke kuliah, tanpa membuang masa terus melangkah keluar daripada bilik. Tinggal Adam yang sedang duduk di depan komputer ribanya. Fikirannya terusik dengan kenyataan Abdullah tadi.
'Apa masalahnya dengan Hak Asasi Manusia?' Adam tertanya-tanya. 'Bukankah Islam itu agama yang adil dan memberikan kepada manusia hak dan pilihan untuk menentukan cara hidupnya?' begitulah kefahaman Adam tentang Islam. Ternyata padanya ada kecelaruan dan salah faham.
"Apa yang salahnya dengan Hak Asasi Manusia?" tanya Adam sebaik saja Abdullah melangkah masuk semula ke dalam bilik. "Bukankah Islam mengiktiraf kebebasan hak bersuara dalam Islam?"
Abdullah diam seketika. Badannya dihenyakkan di kerusi bersebelahan Adam. Komputer riba di atas meja dihidupkan, lalu berkata, "Memanglah Islam mengiktiraf kebebasan seseorang untuk bersuara. Tapi kebebasan itu ada batasnya. Begitu juga dengan Hak Asasi Manusia."
"Masalah Hak Asasi Manusia adalah apabila manusia lain dianggap tidak layak untuk masuk campur hal orang lain meskipun agama menyeru campur tangan. Sama ada seseorang itu buat salah atau pun sebaliknya." Abdullah berkata seraya menoleh kepada Adam.
"Di mana pula yang bercanggah dengan Islam?"
"Yang bercanggahnya adalah ianya bertentangan dengan konsep menyeru kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran yang diajarkan dalam Islam. Bila seseorang itu melakukan salah, maka wajib bagi orang yang melihat kemungkaran itu mencegahnya semampunya. Tidak kira kemungkaran itu dilakukan oleh saudara, adik-beradik atau pun pemimpin. Ini berbeza dengan fahaman Hak Asasi Manusia yang mencegah seseorang untuk masuk campur hal orang lain walaupun ada ketetapan agama."
"Sebagai contoh dalam isu pelaku seks luar tabi'i ini. Sekiranya kita melihat daripada sudut agama Islam, sudah tentu mereka ini akan dikenakan hukuman yang berat. Namun realitinya apa yang kita lihat, di sesetengah negara yang menerima besar fahaman Hak Asasi Manusia, mereka bukan saja melindungi pelaku-pelaku seks luar tabi'i ini daripada dihukum, malah mereka turut menyeru agar golongan tersebut diterima dalam masyarakat.
"Ini jelas menunjukkan, bahawa Hak Asasi Manusia acuan barat tidak menjadikan agama atau lebih tepat al-Qur'an dan as-Sunnah, sebagai pengukur untuk menilai perkara baik dan buruk." Ulas Abdullah lagi. Tangannya menekan papan kekunci dan melayari laman web Seksualiti Merdeka.
"Lihatlah, apa yang mereka promosikan dalam program tersebut?" Abdullah menudingkan jari telunjuknya kepada skrin komputer. Adam menumpukan matanya kepada skrin komputer Abdullah dengan senyap.
"Mereka mempromosikan kebebasan untuk seks luar tabi'i dan mahu untuk apa yang mereka lakukan diiktiraf oleh orang lain." kata Abdullah dengan senyuman sinis. "Rasanya kau sendiri pun tahu apa akibatnya."
Adam diam seketika, lalu berkata, "Ya, tapi bukankah mereka juga yang akan terima akibatnya sendiri. Kita tidak ada kena-mengena."
Abdullah tunduk sambil menggeleng-gelengkan kepala mendengar kata-kata yang terluah daripada mulut Adam. "Adam, kehidupan kita dalam masyarakat ini adalah ibarat sebuah kapal yang sarat dengan penumpang. Ada yang berada dibahagian atas kapal, dan ada pula yang berada di dalam kapal bahagian bawah."
"Orang yang melakukan maksiat dan kemungkaran, adalah seumpama orang yang berada di bahagian bawah kapal yang cuba untuk membuat lubang didasarnya. Sekiranya kita tidak mencegah mereka, maka bukan sahaja mereka yang berada di bawah sana, malah kita yang berada di atas, akan turut sama ditimpa malapetaka."
Abdullah memasang jeda lalu menyambung lagi, "Kemungkaran dan maksiat yang dilakukan oleh manusia itu adalah umpama penyakit berjangkit yang boleh merebak. Ianya berjangkit daripada satu manusia kepada manusia yang lainnya."
Adam hanya diam mendengar. Dia berusaha untuk memahami kata-kata Abdullah itu. Dia teringat satu kupasan dalam Psikologi Pendidikan, bahawa manusia itu belajar daripada peniruan tentang apa yang didengarnya, dilihatnya.
"Jadi apa pendapat kau tentang Seksualiti Merdeka?" tanya Adam seperti orang bodoh.
Seksualiti Merdeka adalah program tahunan cuba dilancarkan di Malaysia yang mana ianya dilaksanakan oleh golongan gay, lesbian, heteroseksual, biseksual dan yang seangkatan dengannya serta yang menyokong mereka. Dalam program ini golongan-golongan tadi akan melakukan pelbagai program seperti pelancaran buku, muzik dan lagu, forum dan banyak lagi. Antara tujuan program tersebut adalah untuk mempromosikan lagi budaya-budaya gay, lesbian dan sebagainya, dengan harapan kehadiran mereka itu dapat diterima oleh masyarakat daripada dipinggirkan.
Hakikatnya program ini sudah dilancarkan di Malaysia semenjak tahun 2008 lagi, namun baru akhir-akhir ini, pada tahun 2011 ianya menjadi isu yang besar.
Secara realitinya program ini adalah bertentangan dengan nilai-nilai murni masyarakat, tidak kira sama ada agama Islam atau pun bukan. Untuk itu, program tersebut telah disekat oleh kerajaan daripada dilaksanakan.
"Aku sangat setuju dengan sekatan terhadap program tersebut. Sepatutnya mereka bukan memperjuangkan hak untuk diterima oleh masyarkat, tapi apa yang patut mereka lakukan adalah berusaha untuk mengubati diri mereka yang mungkinnya mempunyai kecelaruan daripada segi psikologi." Abdullah menyatakan pendapatnya yang sudah terang-terang menolak apa yang diperjuangkan oleh kelompok Seksualiti Merdeka.
"Tapi, ada sesetengah orang yang menyandang kesarjanaan di barat berkata, bahawa berdasarkan kajian, homoseksual itu adalah semula jadi, dan bukannya dibuat-buat." kata Adam sambil menutup komputer riba di atas meja. Sudah tiga jam dia duduk di sana semenjak tadi.
"Adakah kau yakin yang dikatakan oleh sarjana itu?" Abdullah mengangkat sebelah keningnya. Adam mengangkat bahu tanda tidak pasti.
"Apa yang dikatakan oleh sarjana barat tidaklah semestinya betul seratus peratus. Ada di antara apa yang mereka kemukakan itu hanyalah teori semata-mata. Adakalahnya teori itu popular sehingga dianggap fakta. Hakikatnya teori bukanlah fakta yang pasti, ianya cuma sebuah andaian dan ramalan. Lihatlah teori Charles Darwin yang menyatakan manusia itu berasal daripada beruk. Ternyata teori itu masih boleh dipertikaikan kebenarannya." ulas Abdullah secara panjang lebar.
Charles Darwin atau nama penuhnya Charles Robert Darwin adalah seorang tokoh yang mencipta sebuah teori yang dikenali teori evolusi yang dikenali kini dengan Darwinisme. Darwin menyatakan bahawa manusia sebenarnya adalah makhluk yang berevolusi daripada beruk. Pendapat Darwin ini telah dibantah dan dibongkarkan kepalsuannya. Antara yang membongkar kepalsuan teori Darwin tersebut adalah Harun Yahya seorang tokoh daripada Turki dalam bukunya yang telah diterjemah dengan tajuk Keruntuhan Teori Evolusi.
Keadaan bilik sunyi seketika daripada sebarang perbualan. Yang kedengaran hanyalah bunyi papan kekunci komputer ditekan laju bersama deruan angin yang bertiup kencang di luar bangunan tingkat tiga itu, lalu berhembus masuk melalui tingkap bilik yang terbuka sedikit. Sejuk.
Abdullah yang diam bersuara semula dengan tegas, "Perbuatan mengiktiraf Seksualiti Merdeka adalah berbahaya dan boleh membatalkan keislaman seseorang, kerana ianya termasuk menghalalkan perkara yang haram! Mustahil Allah s.w.t. mengharamkan satu perkara yang dia jadikan secara semula jadi melainkan pasti ada penyelesaian."
"Menurut para ahli psikologi, homoseksual adalah perlakuan seseorang yang mempunyai kecelaruan daripada segi psikologi, atau lebih tepat ianya adalah satu penyakit jiwa. Di dalam Islam, kita mempercayai, setiap penyakit pasti ada penawarnya. Daripada para pejuang Seksualiti Merdeka melancarkan program yang menelan belanja yang banyak itu, sepatutnya mereka menggunakan dana tersebut untuk melancarkan program besar-besaran bagi merawat atau menyelesaikan masalah yang mereka hadapi. Itu adalah lebih baik dan berfaedah. Perbuatan mereka melancarkan Seksualiti Merdeka, tidak lain adalah menunjukkan mereka adalah orang yang telah berputus asa untuk mencari jalan penyelesaian bagi masalah mereka."
Adam diam dan terus berdiam diri sambil terbaring di atas katil dengan tangan di dahi. Perkataan Abdullah pada petang itu benar-benar membuat dia berfikir tentang kefahamannya selama ini. Abdullah pula cuma tenang. Dia sedar, untuk mengubah pandangan pemuda yang bernama Adam itu tidaklah mudah dengan sekali kata saja, tapi dia perlu bijaksana dan berhikmah untuk mengubah pemikirannya.
Azab yang diturunkan Allah s.w.t kepada kaum Nabi Lut a.s yang mengamalkan homoseksual:
"Maka apabila datang masa pelaksanaan perintah Kami, Kami jadikan Negeri Lut itu tunggang balik iaitu tertimbus segala yang ada di muka buminya dan Kami menghujaninya dengan batu-batu dari tanah yang dibakar, menimpanya bertalu-talu batu-batu itu ditandakan di sisi Tuhanmu untuk membinasakan mereka dan ia pula tidaklah jauh dari orang-orang yang zalim." (Surah Huud: 82-83)

OH~{LAWAK} : EMOTION ICON YANG ANDA TIDAK TAHU

















              HANTUUUUUUUUUUU...............

{ TAZKIRAH TIME } : SAYA MALU NAK JADI BAIK

"Aku dah tak suci lagi. Aku banyak dosa. Terlanjur dah dengan berapa orang lelaki dah. Zina tu dulu perkara biasa bagi aku sebab aku couple bukan dengan seorang lelaki je. Tapi sekarang aku menyesal. Aku rasa aku teruk sangat! Aku nak jadi lebih baik tapi aku malu. Aku selamanya tak akan jadi baik. Dosa-dosa lalu terus menghantui hidup aku. Aku rasa diri ini jijik dan teramat kotor,"
alt
"Aku ini nak kata budak jahat, tak adalah jahat sangat cuma nakal tu adalah sikit-sikit. Itu mungkin kerana terikut perangai kawan-kawan. Mengusik dan menyakat orang kerja biasa. Tapi sebenarnya jauh di sudut hati aku, aku nak jadi lebih baik tapi aku malu. Nanti apa yang kawan-kawan aku kata. Aku dah pernah sekali ajak mereka solat berjemaah dan pergi dengar ceramah tapi aku dipandang pelik. Aku rasa susah sangat. Aku terhimpit,"
"Aku solat cukup lima waktu sehari. Puasa pun Alhamdulillah. Nak kata bab tutup aurat, aku lepaslah agaknya. Tapi aku rasa aku ini tak cukup baik. Bila aku tengok kawan-kawan yang berubah, bila aku tengok kawan-kawan yang pakai tudung labuh dan berbaju kurung, aku rasa aku ini tak baik. Aku nak berubah tapi aku malu. Aku rasa susah. Aku rasa tak sanggup nak tinggalkan dunia cardigan, jeans, shawl dan pashmina,"
Iman Itu Masih Ada.
Tatkala hati terkesan dengan perbuatan dosa yang dilakukan, itu bukti tandanya iman masih ada. Penyesalan itu salah satu daripada peringkat taubat.
Fitrah manusia suka akan kebaikan. Sebenarnya melakukan kebaikan lebih mudah daripada melakukan maksiat. Tak percaya?
Mana lebih senang. Pergi konsert atau pergi masjid? Kalau pergi konsert, perlu keluarkan duit untuk membeli tiket dan bersesak-sesak dengan orang ramai. Faedah? Belum tentu. Kalau pergi masjid, langkahan kaki pun sudah dikira. Tidak perlu keluarkan modal. Malah makindicintai Allah. Asal niat betul.
Mana lebih senang. Bersedekah atau mencuri? Kalau bersedekah, hanya keluarkan duit. Zahirnya berkurang sedangkan hakikatnya semakin meningkat saham di sana. Kalau mencuri, hati gelisah dan tidak tenteram. Hidup dalam ketakutan. Tidak bahagia.
Selagi dunia tidak kiamat, selagi itu peluang masih ada. Kenapa harus memandang dosa yang lalu sedangkan kita masih punya waktu?
Pandangan manusia. Cuba jadi tegas! Manusia kalau kita buat baik, ada orang tidak suka. Kalau kita buat jahat apatah lagi, mesti ramai juga yang tidak suka. Jadi, buat hanya apa yang Allah suka walaupun manusia tidak suka. Pegang prinsip itu! Kerana kita bukan hamba manusia, kita hamba Dia! Ini bukan marah tetapi tegas dan semangat!.
Create the Future
Kita selamanya tidak akan pernah tahu apa yang bakal terjadi pada masa hadapan. Tetapi kita boleh mengubahnya mulai hari sekarang. Apa yang kita buat hari ini, itulah yang bakal terjadi pada hari esok. Yang penting, tanya pada diri, jika ingin melakukan kebaikan, di manakah usaha? Begitu juga dengan soal rezeki dan jodoh. Qada muallaq iaitu ketentuan Allah yang tercatat di lauhul mahfuz dan kita boleh mengubahnya. Tetapi itu semua bergantung kepada sejauh mana usaha dan doa.
Mari saya datangkan satu analogi. Katakan Ahmad seorang pelajar yang bermasalah, malas belajar dan menghisap rokok. Tiba suatu ketika, terdetik penyesalan di hatinya. Dan ketahuilah, saat itu, dia punya dua peluang. Peluang ke arah kebaikan atau sebaliknya. Terhimpit antara dua lorong.
Lorong pertama, memilih untuk rajin belajar dan meninggalkan tabiat menghisap rokok. Lorongkedua, masih tetap dengan perangai dan tabiat lama. Apakah mungkin jika dia masih berada di lorong kedua, pada masa hadapan nanti dia bakal menjadi seorang graduan universiti yang punya sahsiah mulia dan cemerlang? Sudah tentu tidak! Tetapi sebaliknya yang berlaku jika lorong pertama yang menjadi pilihan.
Ini yang saya maksudkan. Bukan mahu menjadi ahli nujum. Cuma mengajak untuk bersama membina masa hadapan. Mencipta jalan cerita sendiri. Kita umpama pelakon di pentas dunia. Kita punya kuasa untuk mengarah jalan drama sendiri. Dan yang pasti hanya ada dua pilihan yang terbentang. Satu lorong yang dipilih, akan membawa kepada lorong yang lain. Jika lorong kebaikan dan perubahan yang dipilih, pasti kesudahannya juga begitu. Begitu juga sebaliknya. Inilah sunnatullah.
Buat Dirimu...
Sayangku nisa', usah biarkan keterlanjuranmu menjadi sejarah hitam yang terus mencalit debu kehitaman walau hingga ketika ini. Itu semua sejarah dahulu dan ketahuilah hari ini juga bakal menjadi sejarah. Tetapi bezanya sejarah dahulu itu menjadi suatu pengajaran yang besar buat diri. Dan sejarah yang bakal ditelusuri ini, ketahuilah, dirimu masih punya waktu. Usah persiakannya!
Juga buat diri yang rindu akan kebaikan. Apakah saat Allah mendatangkan penyesalan di hatimu, engkau mahu melepaskan peluang ini? Apakah pada saat Allah membuka jalan taubat buatmu, engkau memilih untuk semakin menjauh daripada-Nya walaupun tanpa kerelaan hanya kerana malu dengan manusia sekeliling? Atau merasa diri itu terlalu kotor dan tidak layak untuk diampunkan? Ketahuilah Dia Maha Pengampun. Usah pedulikan pandangan mereka dan mereka itu, tetapi dongaklah ke atas, dan ketahuilah Dia menunggumu untuk sujud kepada-Nya! Bersama air mata taubat seorang hamba!
Buat nisa', walau dirimu merasa tiada yang menyayangi, ketahuilah aku di sini amat menyayangimu sekalipun kita tiada pernah mengenali. Tetapi walau sebesar mana kasihku kepadamu, masih pasti belum mampu menandingi kasih-Nya terhadapmu. Apakah saat ini masih mahu berpaling?
Motivasi daripada Kisah.
Saya memahami, berbicara itu mudah tetapi mahu melakukan itu tidak semudah bicara dan tulisan. Kerana itu perlu kepada kisah-kisah yang dapat menguatkan hati. Yang bisa meneguhkan keazaman dalam diri untuk menjadi lebih baik.
Pasti dan sudah tentu pernah mendengar kisah seorang pelacur perempuan. Yang kiranya dipandang manusia begitu kotor dan jijik pada masa kini sehingga melahirkan anak di luar perkahwinan yang sah. Walaupun mereka itu kini telah menyesal dan ingin berubah tetapi tetap dipandang serong. Tiada sokongan dan semangat yang ditiup tika mereka lemah. Kerana terusan dihantui dosa-dosa lalu.
Dengarkan kisah ini yang ingin saya putar kembali. Kembali kepada kisah pelacur perempuan. Yang berzina. Tetapi dimasukkan ke dalam syurga oleh Allah hanya kerana memberi minum kepada seekor anjing. Tidakkah rahmat Allah itu luas? Kerana itu berhenti menghukum manusia. Walau kotor pada pandangan manusia, kita tiada pernah mengetahui apakah pandangan-Nya.
Lihat diri sendiri dan nilai. Diri sendiri juga belum tentu baik. Diri sendiri juga belum tentu dipandang-Nya. Walaupun kita melakukan kerja dakwah, walaupun diri itu sentiasa memberi tazkirah, walaupun diri itu aktif dalam program keagamaan. Saya suka untuk kembali mengingatkan kepada niat. Lagi sekali, lihat dan nilai. Itu semua tidak bermakna jika hati terdetik riak dan melakukan kerana ingin dipandang hebat oleh manusia. Kerana ingin supaya manusia memandang tinggi. Kerana ingin manusia memandang diri itu bagus, baik, soleh dan solehah. Tika itu, tanya diri sendiri, di mana niatmu yang kau katakan kerana Allah?
Lagi saya bawakan kisah yang cukup sering didengari. Kisah pembunuh yang telah membunuh 99 orang.Lihat usaha dan kehendaknya yang ingin bertaubat. Pembunuhannya mencukupi 100 orang apabila membunuh seorang alim yang mengatakan bahawa dia telah tiada harapan.
Namun, tidak pernah cuba untuk berputus asa. Mengikut nasihat seorang alim yang lain yang mengatakan bahawa perlu penghijrahan ke satu perkampungan yang suasananya bisa membantunya bertaubat. Namun,di pertengahan jalan, dia meninggalkan dunia tanpa sempat bertaubat. Tetapi dalam keadaan sedang usaha bertaubat. Dan dia dimasukkan ke dalam syurga.
Kesimpulan.
Kita tidak akan pernah bisa mengubah masa lalu, tetapi kita masih bisa bertindak mulai sekarang untuk mencipta sejarah baru.
Andai tiada berhenti memikirkan pandangan manusia, langkah kita tiada ke mana. Mereka tiada untung tetapi kita tetap rugi.
Sentiasa bersangka baik dengan Allah. Apabila jalan hidup kita begitu dan begini,yakinlah itu yang terbaik. Apabila kita melakukan dosa, Dia ada memberi keampunan. Saat kita lemah dan terhimpit, Dia ada meniupkan semangat dan kekuatan. Allah ada menyebut bahawa Dia bersama sangkaan hamba-Nya. Andai kita yakin dosa-dosa kita akan diampunkan, Dia dengan rahmat dan sifat Maha Pengampun-Nya akan mengampunkan dosa hamba-hamba-Nya yang benar-benar ikhlas dan bersungguh.

{ TAZKIRAH TIME } : Antara Tanggungjawab dan Amanah Mahasiswa


Ungkapan yang diucapkan As-Syahid Imam Hasan Al-Banna di atas jelas menggambarkan begitu beratnya amanah dan tangungjawab yang terpikul dibahu kita dalam konteks mahasiswa. Antara tangungjawab dan amanah.
Dua konatasi yang tidak jauh perbezaan serta tidak terlihat apakah sebenarnya kontradaksi antara keduanya. Mahasiswa adalah golongan yang paling bernilai kepada negara. Golongan yang begitu penting kepada agama dan masyarakat.
Mahasiswa adalah begitu sinonim dengan pemuda. Pemuda itu gagah tenaganya begitu juga mahasiswa. Pemuda itu intelek pemikiranya, teguh idealismanya begitu juga mahasiswa. Pemuda itu kuat tenaganya begitu juga mahasiswa. Pemuda itu kuat keinginnannya begitu juga mahasiswa. Pemuda itu jelas matlamatnya begitu juga mahasiswa. Jelas disini begitu pentingnya golongan mahasiswa.
"Sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk" Al-Kahfi:13
Impian dan cita-cita akan terlaksana dengan wujudnya keyakinan yang kuat, keikhlasan, semangat yang sentiasa membara bersamanya serta sedia berkorban dan berusaha untuk merealisasikanya.
As-Syahid Imam Hasan Al-Banna menyatakan terdapat empat asas penting kepda mahasiswa iaitu:
a)     Keimanan
b)     Keikhlasan
c)     Semangat
d)     Usaha
Asas keimanan ialah hati yang bersih. Asas keikhlasan ialah jiwa yang suci. Asas semangatialah keinginan yang kuat. Asas usaha ialah keazaman yang membara. Semua sifat ini ada sifat yang wajib ada pada mahasiswa. Atas dasar ini dapat dilihat betapa peri pentingnya pemuda sebagai golongang yang tinggi idealisma dan aktivisma berperanan penting dalam perubahan kepada masyarakat khususnya dalam konteks universiti yang tercinta ini.
Kecintaan mahasiswa kepada Ilmu
Antara amanah dan tanggungjawab. Dengan hasrat memajukan agama dan bangsa. Dalam kita melaung-laungkan kemajuan dari sudut fizikal, material dan yang penting yakni akal budi.
Rupanya kita ini jauh benar ketinggalannya. Meskipun pesatnya dibina universiti, kolej universiti dan kolej-kolej. Namun masyarakat mahasiswa gagal membudayakan kecintaan kepada ilmu. Jelas dalam wilayah autoriti kita sejauh mana mahasiswa membudayakan amalan membaca sebagai sahabat akrab.
Seorang sarjana futuris ,Tofler (powershift -1991) turut mengakui bahawa penguasaan ilmu dan maklumat adalah satu-satunya senjata dekad ini yang akan mendominasikan penguasaan mana – mana masyarakat bertamadun. Keupayaan mengekplositasi dan penguasaan maklumat akan menentukan keunggulan dalam menguasai kuasa politik, ekonomi, kewangan, militari dan segenap bidang dalam kehidupan manusia sejagat.
Penguasaan ilmu dan maklumat menjadi lebih penting kepada masyarakat amnya dan mahasiswa khususnya ketika era yang dicengkam dengan arus sejagat, atau apa yang disebut globalisasi.
Dalam arus globalisasi ini, kapitalisma mencengkam dunia. Kita dapat melihat bagaimana yang kaya akan menguasai golongan miskin. Bahkan yang lebih kaya akan membaham yang kaya. Yang laju akan meninggalkan yang perlahan. Yang lebih laju akan lantas merempuh apa sahaja yang di hadapan.
Jelas di sini mahasiswa perlu sedar. Mahasiswa perlu mempersiapkan diri dengan kantungan ilmu yang penuh di dada. Mahasiswa perlu bangun tidak lagi alpa. Sangat sedih apabila semangat juang makin pudar dalam jiwa mahasiswa. Tidak kedengaran nada-nada pengharapan kepada mahasiswa daripada masyarakat.
Andai dahulunya mahasiswa ini adalah agen perubah masyarakat kini tidak lagi. Masyarakat sangat hampa pada kita. Kedangkalan dan kegagalan kita dalam menguasai ilmu sangat menyedihkan. Universiti sebagai pusat kecermerlangan ilmu tidak lagi dapat dimanfaatkan oleh mahasiswa.
Keutamaan Mahasiswa
Umat diluar sana sedang diserang musuh, umat disana sedang dilanggar musuh. Mengapa kita mahasiswa masih leka dan alpa dengan pesona kelalaian? Akademi fantasia, Malaysian idol dan beberapa program lain yang sejelek dengannya menjadi kegilaan muda-mudi masa kini.
Terjebak dengan kancah kegilaan ini juga adalah mahasiswa yang sering mendabik dada sebagai golongan yang kulit tanpa isi atau kulit berisi hampas. Tanpa kita sedar bahawa gejala hendonisme ini tidak menyuburkan intelektualisma tetapi terus menyuburkan gejala kebodohan.
Mahukah nilai begini terus dilabelkan pada mahasiswa? Hanya mahasiswa sendiri yang akan dapat mengubah persepsi yang negatif ini. Ayuh mahasiswa, bangun dan bersemangatlah! Mari kita kembalikan budaya kecintaan kepada ilmu.
Mari kita sepadukan kecintaan total dan keutamaan yang utama kepada penguasaan ilmu. Seiring hasrat membangunkan negara. Dari segi material dan pembangunan insan. Hanya ilmu adalah senjata yang paling ampuh untuk membela agama, bangsa dan negara Malaysia yang tercinta ini. Jangan dibiarkan negara ini dijajah sekali lagi. Atas dasar kedaifan kita dalam penguasaan ilmu.
Keutamaan penguasaan ilmu tidak dapat dinafikan peri pentingnya. Acapkali kita mendengar betapa pentingnya ilmu. Dengan keilmuan kita dapat merubah segala. Sehingganya surah pertama juga adalah bermula dengan "Bacalah".
Angin perubahan
Marilah kita berubah. Kita perlu berubah untuk merubah. Jangan lagi kita membiarkan nama-nama kita terus diconteng-conteng, dicarik-carik lagi. Di samping perjuangan terus di semarakkan.
Keutamaan kecintaan ilmu jangan dikesampingan. Dengan pengusaan ilmu, kita akan lebih dinamik, progresif dan proaktif serta responsif dengan keadaan semasa. Jangan ditunggu esok.
Bermulalah hari ini. Umat di luar sana menangis melihat kecurangan kita membelakangkan tanggungjawab kita sebagai mahasiswa dan kealpaan dan kelalaian kita menjalankan amanah sebagai hamba Tuhan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...